Tekanan Emosi Terhadap Kanak kanak
Tekanan emosi merupakan sesuatu yang
memang tidak asing lagi bagi orang yang kerap menghadapi masalah. pekerja pejabat
yang perlu menyiapkan tugas-tugasnya dalam tempoh masa yang ditetapkan mungkin
akan menghadapi tekanan emosi jika dia gagal berbuat demikian. Pertelingkahan
suami isteri boleh mendatangkan tekanan emosi kepada kedua -dua pihak dan akan
mengganggu tugas-tugas harian mereka. Kanak -kanak yang tidak menunjukkan
kemajuan di sekolah akan merunsingkan fikiran ibu bapanya dan sering
menyebabkan berlakunya stress dikalangan ibu bapa tersebut. Berbagai-bagai lagi
keadaan boleh menimbulkan tekanan emosi kepada seseorang individu.
Adakah kanak-kanak juga mengalami tekanan
emosi?
Tekanan emosi boleh dialami oleh sesiapa
sahaja tanpa mengira usia. Seorang lelaki yang dibuang kerja tiba-tiba
mendapati dia tidak lagi mempunyai sumber kewangan yang tetap. Dia tidak dapat
menjelaskan hutang piutangnya dan mengatur belanjawan bulanannya seperti biasa.
Ini menimbulkan rasa resah dan boleh menyebabkan seleranya hilang. Tidurnya
tidak lagi nyenyak, tubuhnya sering menggeletar dan jantungnya berdegup kencang. Dia mungkin sering diserang
sakit kepala dan sakit perut. Semua
tanda-tanda ini adalah ekoran daripada tekanan emosi yang dialaminya.
Dalam satu kes, seorang pelajar yang
menduduki peperiksaan sijil rendah pelajaran mengeluh sering sakit kepala, sakit
perut dan tidak dapat tidur nyenyak. Ini semua berpunca daripada perasaan resah
dan kurang yakin yang dia akan dapat melepasi halangan akademik itu dengan
jayanya.
Dalam satu kes lain pula, seorang kanak-kanak
berusia enam tahun dibawa ke klinik kerana sering kencing malam sejak sebulan
yang lalu. Apabila diperiksa, kesihatannya
didapati memuaskan tetapi apabila diselidik keadaan psikososial keluarganya, saya
diberitahu bahawa si ayah telah pergi berkursus ke luar negeri selama enam
bulan. Kanak-kanak ini amat rapat dengan ayahnya. Ketiadaan ayahnya menyebabkan
dia tidak mendapat perhatian yang diharapkan. Tekanan emosi akhirnya
menyebabkan dia sering kencing malam dan mencuri barang-barang kawan-kawannya
di tadika.
Satu lagi contoh tekanan emosi ialah
kanak -kanak yang sering kencing malam dan tidak selera makan akibat suasana di
rumah yang kurang stabil. ibu bapanya sering bertelagah dan sedang berura-ura
untuk berpisah.
Kanak-kanak yang berusia tiga tahun yang
tidak pernah berenggang dengan ibunya juga akan dilanda tekanan emosi jika
ditinggalkan dibawah jagaan pengasuh tadika. Dia akan menangis dan menunjukkan
perubahan tingkah laku yang ketara. Jika kanak-kanak ini dimasukkan ke
hospital, ibu atau bapanya dinasihatkan agar sentiasa berada di sisinya kerana
keadaan persekitaran yang asing dan berbeza akan memberi kesan kepada status
emosi anak itu. Kehadiran ibu bapa sedikit sebanyak akan mengurangkan tekanan emosi
dan perasaan takut kanak-kanak tersebut.
Saya percaya bayi juga boleh mengalami
tekanan emosi. Rasa kurang selesanya terhadap sesuatu keadaan dipamerkan
melalui tangisan yang lebih kerap , keengganan untuk menyusu dan tidak subur.
Dalam suatu kes, seseorang bayi berusia
enam bulan yang tidak subur telah diperiksa di klinik dan didapatti bahawa dia
kurang menyusu. Bayi tersebut tidak mendapat layanan mesra daripada ibunya yang
mengalami depression. Dia dijaga sama ada oleh ibu saudaranya, pembantu rumah
atau kadangkala jirannya. Nyatalah bahawa anak ini sering meragam kerana tidk
dapat menikmati belaian ibu kandungnya. Si ibu kemudian diberikan rawatan
kaunseling. Dia telah dapat mengubah
cara dan gaya keibuannya dan ekoran daripada itu, hubungan ibu dan anak menjadi
lebih mesra. Si anak lebih nyenyak tidurnya dan menyusu dengan lebih baik.
Timbang beratnya ternayata meningkat dengan lebih memuaskan selepas beberapa
bulan kemudian.
Dari contoh-contoh yang diberikan ini ,
kita dapat melihat bahawa tekanan emosi boleh berlaku kepada kanak-kanak dipelbagai
peringkat usia . Tanda-tanda yang ditunjukkan oleh kanak-kanak berbeza-beza
mengikut usia masing-masing. Seorang kanak-kanak yang mengalami tekanan emosi
mungkin kurang selera makan, loya tekak dan muntah-muntah, sakit perut, sakit
kepala, pucat dan tidak aktif. Ada juga yang menjadi tidak bermaya, lelah,
sukar tidur malam, kencing malam, menggigit-gigit kuku, menarik-narik rambut
dan sebagainya.
Kanak-kanak yang mengalami tekanan emosi
mungkin kelihatan lebih kurus akibat hilang selera makan. Doktor yang merawat
kanak-kanak yang mempamerkan tanda-tanda seperti yang disebutkan di atas perlu
melakukan pemeriksaan yang teliti supaya sebarang penyakit jika wujud dapat
dirawat segera. Jika doktor yakin tidak ada unsur penyakit berbahaya yang
terlibat, keadaan psikososial si anak pula perlu dinilai dengan terperinci.
Kemungkinan besar, dia menghadapi tekanan emosi. Tegasnya pertimbangan harus
diberikan terlebih dahulu kepada kemungkinan tanda-tanda tersebut disebabkan
oleh sejenis penyakit fizikal sebelum ia dihubungkaitkan aspek tekanan emosi.
Faktor-faktor psikososial merangkumi
aspek kekeluargaan, suasana di rumah dan di sekolah, aspek pergaulan dan
sebagainya. Doktor juga perlu mempertimbangkan ciri -ciri kelemahan si anak dan
mencari punca-punca kelemahan itu. Ambil contoh kanak-kanak yang telah mencapai
usia enam tahun tetapi masih tidak boleh bercakap dengan fasih dan mempamerkan
prestasi intelek yang kurang memuasakan.
Ini mungkin kerana dia berasa kurang selesa di
tadika atau di sekolahnya. Guru yang tidak memahami masalah anak ini mungkin
akan mengabaikannya begitu sahaja tanpa memberikan perhatian sokongan dan
bimbingan. Dalam usaha untuk mendapatkan perhatian, kanak-kanak ini mungkin
menjadi hiperaktif, sering mengacau kanak -kanak lain dan merayau-rayau sesuka
hatinya. Tingkah lakunya mungkin akan menjejaskan program-program yang telah
diaturkan di tadika atau di kelasnya. Kanak-kanak yang sebegini perlu
mendapatkan penilaian yang terperinci bagi mengenal pasti ciri-ciri kelemahan
dan kekuatan yang dimlikinya.
Program pembelajaran yang lebih sesuai
boleh diaturkan untuknya. Umpamanya program yang menekan aspek-aspek membina
keyakinan diri dan pergaulan sosial supaya dia dapat berhubung dengan kanak-kanak
lain secara lebih cepat.
Adakalanya, kanak -kanak menghadapi
masalah pembelajaran yang khusus (learning disability) yang menyebabkan dia
tidak dapat maju dalam pelajaran seperti kanak-kanak lain. Keadaan ini perlu di
kenal pasti supaya langkah-langkah intervensi dapat diatur khusus untuknya bagi
membolehkan dia menggunakan ciri-ciri kekuatan yang lain untuk mengatasi
kebuntuan yang dihadapinya itu.
Adakalanya, kanak-kanak diasuh dan
dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan. Mereka tidak dibekalkan dengan bahan-bahan
bacaan dan peralatan menulis yang cukup. Ada sesetengahnya pula tidak
dibiasakan untuk berkomunikasi dan berhubung dengan orang lain secara terbuka.
Akibatnya, mereka berasa kurang yakin dengan diri sendiri. Akibat kurangnya
pergaulan, kemahiran sosial mereka terbantut. Apabila mereka dimasukkan ke tadika
atau sekolah, mereka mengalami ketegangan jiwa. Mereka berasa kurang yakin pada
diri sendiri serta tidak banyak bercakap. Malahan , perasaan takut mungkin
bersarang dalam jiwa mereka, terutama apabila berhadapan dengan guru. Oleh itu,
para pengasuh tadika atau guru patut memain peranan yang lebih positif untuk
membantu kanak -kanak ini agar mereka berasa lebih selesa dalam suasana baru
dan seterusnya dapat meningkatkan kemahiran sosial mereka.
Ibu bapa yang rapat serta peka terhadap
keperluan anak-anak pasti dapat merasai perubahan pada anak yang mengalami
tekanan emosi terutamanya dari segi tingkah laku dan cara percakapan. Kanak-kanak
yang mengalami tekanan emosi lebih suka berseorangan, termenung, merayau-rayau
dan berkelakuan tidak menentu. Mereka sering kelihatan tidak bermaya, kurang
menunjukkan minat dan tidak mempamerkan wajah gembira dan mesra seperti biasa.
Mereka mungkin menjadi lebih pemarah, lebih resah, kurang sabar, tidak suka
ditegur dan menunjukkan berbagai-bagai corak tingkah laku yang tidak
menyenangkan.
Kanak -kanak yang akan menduduki
peperiksaan, sedang menunggu keputusan peperiksaan atau yang mengalami krisis
pergaulan dengan rakan sebaya berkemungkinan akan mengalami tekanan emosi. Anak
-anak yang sedang melalui zaman remaja sering mengalami konflik perasaan dan
mudah berasa tersinggung. Ibu bapa sewajarnyalah memberikan sokongan moral yang
kuat dan galakan sepenuhnya ekepada anak-anak mereka yang menghadapi krisis dan
cabaran-cabaran hidup. Semakin mereka membesar, semakin berat tanggungjawab
yang mereka pikul. Ketenangan dan keyakinan diri perlu dipupuk dalam diri si
anak. Latihan-latihan yang bertujuan mengatasi tekanan emosi perlu didedahkan
kepada mereka untuk dimanfaatkan.
Bagaimanakah cara untuk mengurangkan
tekanan emosi?
Cara seseorang itu menghadapi cabaran-cabaran
hidup berbeza dengan seorang yang lain dan ini bergantung pada personaliti atau
perwatakannya yang telah dibentuk sejak dari peringkat bayi lagi dan mungkin
juga sejak dari dalam rahim lagi. Selain pengaruh baka, pengalaman dari semasa
ke semasa sentiasa mengubah, mengukuh atau menghilangkan sesuatu ciri
perwatakan yang terdapat pada dirinya.
Dalam kalangan orang dewasa, ada yang
sering kelihatan tenang sahaja walaupun berhadapan dengan sesuatu krisis manakala
ada pula yang mudah resah sehingga tidak dapat memikirkan cara-cara untuk
mengatasi sesuatu masalah itu dengan baik.
Keupayaan berfikir dengan tenang dan kecekapan menganalisa sesuatu
keadaan untuk mendapat kaedah penyelesaian yang wajar merupakan cara yang
berkesan untuk mengatasi atau mengurangkan tekanan emosi. Seseorang yang sering
resah dan mudah berasa gentar apabila menghadapi sesuatu cabaran perlu mengubah
sikapnya jika dia ingin berjaya didalam bidangnya.
Setiap individu memang mempunyai kebolehan
untuk mengatasi kelemahan-kelemahannya. Begitu juga dengan kanak -kanak yang
sedang membesar yang mudah dibentuk pemikirannya melalui pendidikan dan contoh-contoh
positif.
Tabiat-tabiat yang kurang sihat dan
negatif boleh menjejaskan prestasi seseorang kanak-kanak. Contohnya, seorang
kanak-kanak berusia 10 tahun sering mengeluh tidak boleh tidur malam dan berasa
resah untuk menghadapi peperiksaan. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa pengalaman-pengalaman
yang dilaluinya sejak kecil tidak banyak mengajarnya membina keyakinan diri.
Gurunya menyatakan bahawa dia seorang budak yang lembab sejak dia di dalam
darjah satu lagi.
Apabila anak ini dinilai, prestasi inteleknya
didapati setaraf dengan kanak-kanak lain yang sebaya dengannya. Jika dia diberi perhatian yang lebih sejak
dari darjah satu lagi prestasi akademiknya mungkin akan lebih baik. Tetapi, kerana program intervensi bagi
membantunya dalam pelajaran tidak dapat diaturkan dengan berkesan, prestasinya
tahun demi tahun semakin merosot. Ini semakin menjejaskan keyakinan dirinya.
Dia akan mudah berasa tertekan apabila berhadapan dengan sesuatu cabaran.
Kecaman dan denda kerana prestasi
akademik yang tidak memuaskan tidak akan mendatangkan apa-apa manfaat malahan
akan lebih menyinggung perasaanya. Dia memerlukan galakan, sokongan dan tunjuk
ajar daripada guru-guru yang arif supaya dia dapat maju dalam pelajarannya. Kanak -kanak seperti ini sering mendapat
tekanan emosi. Untuk meredakan keadaan
emosi yang berkecamuk, dia mungkin menunjukkan tingkah laku seperti melawak,
menjadi agresif, sentiasa resah atau tidak mengambil berat langsung dalam hal-hal
sekolah.
Kesimpulan
Tekanan emosi boleh dialami oleh kanak-kanak
tanpa mengira usia. Manifestasi yang ditunjukkan berbeza-beza mengikut tahap
perkembangannya. Ibu bapa perlu memahami
dan mengenali ciri-ciri tekanan emosi dalam kalangan anak-anak tersebut.
Kadangkala, keluhan dalam kalangan kanak-kanak
itu perlulah diperiksa dengan teliti supaya segala punca boleh dikaitkan dengan
penyakit organik dapat dikenal pasti sebelum perhatian ditumpukan kepada
masalah psikososial kanak-kanak itu.
No comments:
Post a Comment